Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, tenaga pakar seharusnya dimanfaatkan bagi tujuan itu agar projek berkenaan boleh diteruskan tanpa bebanan kewangan dan berdepan kerugian besar.

"Meskipun ada kontroversi dari segi nilai projek yang terlalu tinggi, saya berpendapat keputusan membatalkan terus projek adalah sangat merugikan sama ada dari segi implikasi kewangan untuk membayar ganti rugi kepada China dan kehilangan peluang pekerjaan.

"Yang paling besar ialah menafikan tiga negeri pembangkang - Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk menikmati impak sosioekonomi yang besar daripada pelaksanaan projek ini.

"Masih belum terlambat untuk mempertimbangkan semula keputusan pembatalan ini. Tenaga pakar kita boleh dimanfaatkan untuk mencari jalan bagi pengurangan kos tapi bukannya keputusan pembatalan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL dan Saluran Paip Gas Trans Sabah.

Menurut Dr. Azman, sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri beliau amat berharap kerajaan Pusat mempertimbangkan semula keputusan pembatalan ECRL.

Beliau menarik perhatian tentang banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri pada penggal lepas dan sekarang untuk mempermudahkan urusan Malaysia Rail Link (MRL) dalam menjayakan projek mega ini terutama dalam urusan pengambilan tanah sepanjang laluan yang dicadangkan.

"Pihak syarikat MRL juga telah mengadakan taklimat tentang progres projek ECRL kepada kepemimpinan baharu kerajaan negeri.

"Kita tahu ada Bukit Bauk yang telah ditebuk untuk dibina terowong, kelulusan pengambilan tanah telah diberikan oleh kerajaan negeri di samping depo telah dibina di beberapa lokasi serta pelbagai lagi kerja-kerja yang telah dibuat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE