Sekumpulan pengunjung dari Cherating teruja melihat model kereta
Yuserri Zainuddin

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Datuk Dr. Yuserri Zainuddin berkata, projek berimpak tinggi itu juga menambah dan memberi impak besar dalam menghasilkan penduduk yang dapat menikmati pembangunan sama rata.

Projek berkenaan, kata beliau, melakar sejarah baharu dalam sistem pengangkutan awam negara yang menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi berdaya saing bukan sahaja di negara ini tetapi melibatkan kuasa ekonomi dunia sebagai laluan pintas antara Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Laluan strategik ini akan menjadi pilihan untuk mengatasi kesesakan laluan Singapura-Selat Melaka apabila dihubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang.

“Berdasarkan kepada kemampuannya, sudah pasti ia menjadi persaingan perdagangan antara China dan negara sebelah barat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­nyempurnakan majlis pecah ta­nah projek ECRL di sini sekali gus menandakan bermulanya projek yang menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos sebanyak kira-kira RM55 bilion itu dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun.

Yuserri berkata, selain itu, peluang pekerjaan dan perniagaan dapat ditingkatkan melalui saluran pengedaran yang lebih efisien dan mantap.

“Negara sedang melalui fasa pembangunan infrastruktur yang memberi faedah kepada seluruh rakyat tanpa mengambil kira lokasi dan geografi kedudukan mereka,” katanya.