Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri melihat projek berkenaan jika dilaksanakan akan memperelokkan lagi hubungan hasil daripada limpahan pembangunan projek tersebut.


"Kalau kos menjadi alasan, mungkin kos tu boleh dibincangkan sebab kita melihat dari segi impak pembangunan itu yang lebih besar kepada masyarakat terutama bagi masyarakat kita di pantai timur," katanya selepas menghadiri majlis 'Get To Know' anjuran Kuasa Jeneral Thai Mongkol Sinsomboon yang baru bertugas di sini, malam tadi. 


Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menghantar surat kepada kekrajaan Persekutuan, Mohd Amar berkata, "Kita tak bincang lagi...itu kena menteri besar la...mungkin dia tengok macam mana*."


Beliau juga berkata kerajaan negeri tidak perlu membuat sebarang kajian kerana projek berkenaan adalah projek kerajaan pusat.

"Kami ni tak boleh apa, cuma jika projek itu dibuat, kita bagi kerjasama kalau dia kata batal...kita tak boleh buat apa*," katanya.


Mengenai Tumpat yang dikatakan menjadi antara dua daerah terkebelakang di negara ini, Mohd Amar berkata beberapa program termasuk membina sebuah pelabuhan sudah dirancangkan kerajaan negeri.


"Pembinaan pelabuhan ini mampu menjadi katalis untuk pembangunan jajahan Tumpat dan sebab itu bila ECRL diperkenalkan kita cadangkan supaya landasan kereta api itu sampai ke Pengkalan Kubor.


"Pada waktu itu juga kita berharap jika projek itu berjalan ia mungkin boleh menaikan pembangunan di Tumpat, sama seperti cadangan pembinaan lebuhraya pantai timur, sambungan daripada Besut dicadangkan sampai ke Pengkalan Kubor," katanya.


Bagaimanapun Mohd Amar berkata kerajaan negeri tetap meletakkan pembinaan pelabuhan sebagai cadangan utama untuk membangunkan Tumpat tetapi tidak dapat melakukan apa-apa disebabkan lesen untuk membangun projek mega itu di bawah Kementerian Pengangkutan. 


Mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Datuk Husam Musa terhadap hubungan UMNO dan PAS yang tidak berasas, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata sememangnya sehingga ini belum ada hubungan rasmi antara kedua-dua parti pembangkang itu.


"Cuma macam yang disebut oleh datuk seri presiden...kerjasama untuk hadapi pilihan raya. Itu saja. Tak ada di luar pilihan raya. Lepas pilihan raya habislah...," katanya.


Mohd Amar juga menjelaskan tidak ada syarat khas dikenakan kerana hubungan itu hanya untuk pilihan raya sahaja.


"Macam kita di kampung la...masa kenduri kita tolong, lepas kenduri habis lah*."


Beliau juga menegaskan kaedah sama akan digunakan untuk menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kelak. - BERNAMA