N.SUBRAMANIAM

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kelantan (KICCI), Datuk N.Subramaniam berkata, negeri ini sudah lama ketinggalan berbanding negeri lain dan keputusan kerajaan itu sangat ditunggu-tunggu.

Beliau yang juga Naib Presiden 1, Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI) berkata, pembinaan ECRL memberi peluang kepada Kelantan untuk menjadi sebuah negeri yang maju.

"Kita ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, sekarang Kelantan boleh maju, Pantai Timur juga boleh maju.

"Semasa kerajaan sebut mahu batalkan (ECRL) hari itu kita semua sedih, tetapi sekarang kita sudah tentu gembira bila kerajaan mahu teruskan semula.

"Pembinaan ECRL mungkin nampak bawa kerugian kepada kerajaan tetapi ia memberi manfaat sangat besar untuk jangka masa panjang kepada rakyat, negeri kita sudah lama terlepas dan inilah masa kita kejar negeri Pantai Barat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Subramaniam yang juga Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, pembinaan ECRL bukan sahaja memudahkan pengangkutan barang ke Port Klang tetapi juga satu tarikan pelancong untuk melihat panorama negeri ini semasa menaiki kereta api.

Dalam pada itu, Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan (DPMMNK), Mohd. Ali Amin Ab. Latif berkata, pembinaan ECRL bukan setakat dinantikan usahawan dan penduduk negeri ini bahkan negara jiran.

"Kita pernah berbincang dengan orang Thailand,  mereka amat berminat dengan ECRL kerana barang dari sana boleh masuk ke Kelantan dan diangkut dengan kereta api ke Kuala Lumpur.

"Sekarang kebanyakan barang ke Kuala Lumpur semuanya dari Padang Besar, Perlis, tidak melalui Kelantan kerana kita tiada prasarana, jadi bila ECRL siap ia akan mendekatkan lagi jaringan dua negara," katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Calvin Kang pula berkata, beliau berharap faktor pengangkutan yang lebih pantas melalui ECRL akan menarik lebih ramai peniaga melabur ke negeri ini. UTUSAN ONLINE