Daim yang merupakan Wakil Khas Perdana Menteri berkata, landasan baharu yang bakal dibina itu adalah sepanjang 648 kilometer berbanding ranca­ngan awal 688 kilometer.

Bercakap kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini, hari ini, beliau yang juga

DAIM ZAINUDDIN
DAIM ZAINUDDIN 

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, ciri lain se­perti landasan berkembar walau bagaimanapun masih dikekalkan seperti mana perjanjian asal.

“Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya se­perti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Terdahulu, Malaysia-China menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL di sini pada 11 pagi waktu tempatan, membabitkan wakil Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Con­­struction Company Ltd. (CCCC).

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Mengulas lanjut mengenai rundingan perjanjian yang telah diusahakan sejak Julai tahun lepas itu, Daim berkata projek pembinaan ECRL itu akan turut dimulakan semula secepat mungkin.

Ditanya mengenai pengura­ngan faedah pinjaman terbabit, beliau berkata perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar Isnin depan.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri. Tetapi secara amnya, jumlah itu akan berkurangan seiring pe­ngurangan jumlah pinjaman baharu,” katanya.

Selain itu, Daim juga yakin pemeteraian perjanjian tambahan baharu ini akan meng­eratkan lagi hubungan Malaysia-China.

“Kita percaya ini juga merupakan satu kepercayaan baharu kepada pelabur-pelabur China untuk terus melabur di Malaysia,” katanya. – BERNAMA