LIM GUAN ENG

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan me­ngadakan perbincangan semula berhubung kos pembinaan projek sepanjang 688 kilometer yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan itu.

“Projek ECRL akan disemak supaya kita dapat runding semula tetapi HSR kita hendak kaji,” katanya dalam video yang dimuat naik portal berita Malaysia Insight hari ini.

Dalam laporan sama Guan Eng berkata, rundingan semula perlu dibuat kerana tidak masuk akal untuk kerajaan memansuhkan projek ECRL selepas membayar RM20 bilion.

Projek ECRL dijadualkan siap pada Jun 2024, mempunyai 28 stesen dengan menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo.

Pada 1 April lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PPBM tidak menolak kemungkinan menghentikan pro­jek ECRL jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan untuk rakyat.

Selepas mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata kepada The Edge pada 26 Mei lalu bahawa projek ECRL mempunyai aturan yang pelik kerana pinjaman untuk Malaysia membina projek terbabit disimpan di luar negara.

Sementara itu Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau telah mengarahkan Peguam Negara, Tommy Tho­mas untuk meneliti aspek perun­dangan dalam perjanjian kontrak HSR bagi membolehkan kerajaan berbincang dengan Singapura.

“Kita sudah semak angka, ada aspek kewangan, kejuruteraan dan undang-undang. Kami kaji kedua-duanya dan kini hanya menunggu aspek perundangan daripada beliau,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Dr. Mahathir menegaskan, projek HSR ditangguhkan bukan dibatalkan sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, kerajaan tidak boleh kata bahawa negara tidak ada kereta api berkelajuan tinggi kerana per­khidmatan itu merupakan sesuatu yang diperlukan pada masa depan terutamanya merentasi kawasan Semenanjung.