Ahmad Samsuri berkata, sebarang kenyataan lanjut mengenai projek itu akan dimaklumkan selepas sidang akhbar Perdana Menteri pada Isnin ini.

“Berhubung dengan perkembangan terkini ECRL, saya akan memberi ulasan setelah mendapat maklumat lebih jelas selepas sidang akhbar oleh PM pada Isnin ini,” katanya menerusi ciapan Twitter di sini petang ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos yang lebih rendah selepas kerajaan Malaysia dan China melakukan rundingan selama beberapa bulan.

Kenyataan itu berkata, kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2 ECRL kini telah dikurangkan kepada RM44 bilion, satu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Katanya, pengurangan itu pastinya memanfaatkan Malaysia dan meringankan beban kedudukan kewangan negara.

Dalam kenyataan itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan mengalu-alukan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Co Ltd. (CCCC) yang akan membuka jalan kepada penerusan projek ECRL. - UTUSAN ONLINE