Dengan satu klik tahu penyedia tempahan mana yang paling murah. Namun dalam isu Projek Rel Pantai Timur (ECRL) ia tidak semudah mencari harga bilik hotel.

Di pihak kerajaan, mereka mendakwa berjaya berunding semula dengan China yang menawarkan harga jauh lebih rendah. Katanya boleh bina dua lagi Menara Berkembar Petronas dengan penjimatan berkenaan.

Namun seperti iklan popular itu, syaratnya mesti bilik sama dan hotel sama. Standard tidak boleh dibandingkan dengan bilik deluxe. Begitu juga soal tarikh.

Sekarang, jajarannya berubah, dari Bentong-Gombak berubah ke Jelebu-Bangi dan tempoh masa perjalanan juga difahamkan sedikit panjang untuk perjalanan dari ibu negara ke Kota Bharu.

Maka tidak adil untuk mewujudkan persepsi kos asal ECRL yang lebih tinggi disebabkan ‘unsur sakau’ seperti dibangkitkan tentera siber kerajaan atau kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam berunding dengan pihak China berbanding Pakatan Harapan (PH).

Kecualilah boleh disebut jajaran asal dengan spesifikasi sama, harga yang berjaya dirundingkan kerajaan PH lebih rendah dari RM65 bilion. Kalau berdasarkan kenyataan seorang pemimpin DAP sebelum ini, kos ECRL mengikut jajaran asal hanyalah kira-kira RM30 bilion. Lagi handal.

Teringat ceramah, Mohamad Sabu sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu yang mengakui pernah berbeza pandangan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana merasakan projek mega yang dilaksanakan pada era Perdana Menteri keempat itu boleh dibuat dengan kos lebih rendah.

Tidak tahulah apa maksud Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, sama ada Menara Berkembar Petronas direndahkan bukan lagi 88 tingkat atau landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikurangkan.

Ketika itu tiada peluang untuk melihat apakah kata-kata Abang Mad yang kini menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Dr. Mahathir betul atau salah kerana pembangkang kalah pilihan raya.

Apa pun pengangkutan rel adalah masa depan, keputusan meneruskannya memang disambut baik. Di Switzerland, rakyatnya tidak mempunyai sebab untuk memiliki kereta kerana jaringan pengangkutan awam negara itu yang super cekap.

Rakyat Malaysia ramai berkehendakkan perkara itu, tidak terkecuali penduduk Bentong seperti dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP, Young Syefura Othman.

Cuma kejayaan ECRL bergantung kepada jumlah penumpang tetapi jika lalu Jelebu yang sembilan kali ganda lebih rendah bilangan penduduk berbanding Gombak seperti dibangkitkan seorang pakar pengangkutan awam, maka ini perlu penjelasan kerajaan berhubung jangkaan terbaru penumpang dengan penjajaran semula ECRL. - UTUSAN ONLINE