Ia bagi menghargai kesungguhan Siti Nuraisyah atau lebih dikenali sebagai Ecah, yang tidak mudah patah semangat apabila memilih sukan angkat berat setelah kudung kedua-dua belah kakinya akibat digilis kenderaan berat dalam kemalangan dua tahun lalu.

Pengetua SMK Bagan Terap, Yusaini Salleh berkata, kejayaan pelajar tingkatan tiga sekolah itu, Siti Nuraisyah dalam bidang sukan angkat berat sangat membangga pihak sekolah dan ia menjadi sumber aspirasi kepada seluruh pelajar sekolah berkenaan.

"Ecah tidak menjadikan kekurangan anggota fizikalnya yang kudung kedua-dua belah kaki akibat kemalangan dua tahun lalu sebagai penghalang, sebaliknya bangkit dan terus berjuang dengan gigih sehingga berjaya meraih kejayaan membanggakan dalam sukan angkat berat Para Sukma.

"Jadi kita mahu semangat dan jati diri seperti yang ditunjukkan Ecah menjadi contoh, sumber aspirasi dan motivasi kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan," katanya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Mohd.Jaluli Yahaya dan Penolong Pegawai Belia Daerah Sabak Bernam, Rozana Adnan.

Pada majlis khas itu, selain Ecah, seramai 39 pelajar sekolah itu yang berjaya menamatkan siri latihan sebagai Pemimpin Masa Hadap di Outward Bound School (OBS) di Lumut, Perak, turut menerima hadiah dan sijil penghargaan. - UTUSAN ONLINE