Panglima Tentera Udara, Je­ne­ral Datuk Seri Affendi Buang berkata, helikopter tersebut telah ditempatkan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu dan ditugaskan dalam membantu operasi memberi bantuan dan menyelamat.

Katanya, TUDM juga akan menambah aset yang diperlukan bergantung kepada keperluan semasa dan jenis operasi.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini kerana segalanya di luar jangkaan. Kita hanya mahu memastikan segalanya selamat dan keperluan asas diperlukan mangsa dapat tiba tepat pada masanya.

“Kesiapsiagaan TUDM kini di peringkat tertinggi untuk menghadapi banjir kali ini,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Panglima Operasi Udara dan Panglima Bantuan Udara di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Jawatan Panglima Operasi Udara kini dipegang oleh Lef­tenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab. Wahab manakala Pang­lima Bantuan Udara disandang Leftenan Jeneral Datuk Wan Normazlan Che Jaafar

Dalam pada itu, Affendi berkata, TUDM telah berjaya mengumpul pelbagai bukti kukuh berkenaan siasatan nahas pesawat Beechcraft B-200T yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang 21 Disember lalu.

Menurutnya, kini siasatan tersebut hampir siap dan berada di peringkat akhir sebelum dapat dikenal pasti punca nahas itu.

“Selepas dianalisis, kita dapati ada dua faktor yang menjadi punca nahas terbabit iaitu sama ada akibat kerosakan teknikal atau disebabkan kecuaian manusia. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh membuat kesimpulan sebelum disahkan terlebih dahulu,” ujarnya.