Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sistem e-Reporting iaitu laporan tidak berkaitan jenayah seperti kehilangan dokumen dan barang kini telah dilaksanakan di seluruh balai polis di Lembah Klang.

“Sebelum ini, sistem ini hanya dilaksanakan di 40 balai di Lembah Klang namun kini orang ramai boleh membuat laporan melalui online di seluruh balai di Lembah Klang.

“Dalam masa terdekat, kita akan memperluaskan penggunaannya di seluruh negara pula,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE