Timbalan Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Khairil An­nuar Khalid berkata, pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN juga perlu bertindak segera bagi menamatkan krisis kemanusiaan itu.

“Mynmar mesti membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan oleh organisasi kemanusiaan antarabangsa dan tempatan bagi membantu semua pelarian Rohingya yang memerlukan bantuan.

“Selain itu, mereka juga perlu menjalankan kerjasama dengan kerajaan Bangladesh di kawasan sempadan dan kem penempatan sementara di Bangladesh bagi membawa masuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan serta sumber kewangan antarabangsa untuk membantu pelarian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan terdapat hampir 60,000 pelarian Rohingya yang berdaftar berada di negara ini.

Beliau berkata, kutipan dana menerusi Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya dite­ruskan dan mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank MRA bernombor 564098206365 atau hubungi talian 03-91744672/013-3371672 atau layari www.mra.my.