Perdana Menteri berkata, selepas Bank Dunia, Malaysia kini menerima semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi 2017 yang lebih tinggi daripada IMF.

Beliau berkata, IMF meramalkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.8 peratus berbanding unjuran awal 4.5 peratus pada tahun ini.

‘‘IMF ramal ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.8 peratus. Ini satu lagi bukti bahawa dunia yakin dengan ekonomi kita,’’ katanya menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.

IMF dalam laporan terkini Ramalan Ekonomi Dunia (World Economic Outlook) yang dikeluarkan hari ini telah menaik taraf ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia 2017 kepada 4.8 peratus daripada 4.5 peratus pada waktu ini.

Badan kewangan antarabangsa itu bagaimanapun tetap mengekalkan ramalan bahawa ekonomi dunia sebagai tidak berubah pada tahun ini dan juga pada tahun depan walaupun membuat sedikit perubahan ramalan iaitu pertumbuhan meningkat bagi Eurozone dan China.

Pengarah dan Kaunselor Ekonomi, Jabatan Penyelidikan IMF, Maurice Obstfeld dalam sidang media mengenai perkara ini memberitahu, terdapat dasar kewangan yang kukuh untuk Malaysia dan pihaknya amat optimistik berhubung perkara itu.

Katanya, Malaysia yang merupakan negara ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara menunjukkan pemulihan ekonomi berperingkat, selepas terdapat permintaan yang perlahan untuk minyak dan pertumbuhan eksport komoditi yang perlahan berbanding dua tahun lalu.

Obstfeld berkata, pada suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia tumbuh lebih baik daripada yang dijangka iaitu 5.6 peratus berdasarkan kadar tahunan, terpantas dalam tempoh dua tahun ini dengan menunjukkan eksport dan permintaan domestik yang tinggi.