Berkonsepkan menerokai dunia makanan dari ladang dan lautan ke meja hidangan, sebanyak 600 gerai pameran telah habis ditempah di kawasan seluas 80,000 meter persegi.

Gerai pesta makanan yang akan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober ini di MAEPS, Serdang akan mempamer serta menjual pelbagai jenis hasil pertanian seperti buah-buahan, sayuran dan bunga-bungaan segar. 

Tidak ketinggalan pelbagai produk ternakan dan lautan antaranya ikan tuna laut, udang laut, rumpai laut, madu kelulut, 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sebanyak 401 menu makanan dalam empat kategori menanti orang ramai di 'Empayar Makanan'.

"Pengalaman jamuan empat cara berbeza di 'Food Fest' iaitu hidangan ikan sungai termahal, makanan ala kampung, makanan laut lambak dan makan malam ala barat yang akan berlangsung selama dua hari juga telah habis ditempah," kata Ahmad Shabery Cheek dalam sidang akhbar di MAEPS hari ini.

Empat orang selebriti iaitu Fara Fauzana, Aiman Tino, Mat Dan dan Yabang Khalifah turut dijemput untuk memeriahkan HPPNK2017 dan MFF2017. 

Pesta makanan dan pertanian selama empat hari itu dijangka akan dihadiri 500,000 pengunjung serta sasaran jualan sebanyak RM30 juta.

Pada majlis hari ini Shabery Cheek turut menerima sumbangan tajaan berjumlah RM3.1 juta dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Agrobank, Persatuan Nelayan Kebangsaan, Nestle Malaysia, Asia Tank, Affin Bank, Tekun Nasional, Bernas, QSR Brands, BioAlpha, Giant Malaysia, Oblong Burger-Seleraku Trading, Green World Genetic Sdn. Bhd., Hybrid Allied, RHB Bank dan Fama Corp.-UTUSAN ONLINE