Kenyataan ini dimuat naik oleh pelakon utamanya, Datin Seri Umie Aida menerusi akaun Instagram miliknya.

“Alhamdulillah...terima kasih atas sokongan anda semua. Teruskan sokongan anda pada filem-filem Malaysia yang akan keluar di pawagam nanti,” tulisnya pada kapsyen gambar yang menunjukkan jumlah kutipan tersebut.

Filem arahan Dain Said dan terbitan Astro Shaw itu mula ditayangkan pada 5 April lalu di 133 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

Dukun sebelum ini diharamkan tayangannya pada Disember 2006 selepas Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) membuat keputusan itu kerana jalan ceritanya yang dianggap kontroversi.

Selain Umie yang memegang watak sebagai Diana Dahlan, Dukun turut membariskan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana. - UTUSAN ONLINE