Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembukaan jalan itu melibatkan lebuh raya sepanjang 7.4 kilometer menghubungkan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dengan Lebuh Raya Duke sedia ada di Jalan Segambut dengan kos keseluruhan berjumlah RM 1.18 bilion.

“SDL dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di persimpangan MRR2 dan Lebuh Raya Damansara-Puchong selain dapat memudahkan aksesibiliti untuk orang ramai, memendekkan perjalanan, menjimatkan masa serta kos bahan bakar atau minyak kenderaan sekali gus mengurangkan kos selenggaraan kenderaan.

“Sempena majlis pembukaan ini, pihak konsesi iaitu Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Kuala Lumpur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) menawarkan tol percuma kepada pengguna di Plaza Tol Segambut selama sebulan bermula hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Jajaran SDL, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dan Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad, Tan Sri Lim Kang Hoo.

Tambah Fadillah, SDL juga berupaya menyediakan laluan alternatif untuk ke pusat bandar dengan kawasan penempatan di sebelah Barat merangkumi MRR2, Rawang dan Kepong.

“SDL juga akan menambah baik sistem penyuraian trafik di sekitar Jalan Lang Emas, Jalan Taman Bukit Maluri, Kepong dan Penchala. Kawasan sekitar laluan tersebut akan mendapat manfaat daripada akses dan sambungan yang disediakan dan seterusnya akan dapat menyokong dan meningkatkan pembangunan di sepanjang koridor SDL.

“Apa yang menarik berkenaan lebuh raya ini ialah ia merupakan lebuh raya terakhir yang akan dibina sehingga tahun 2020 nanti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Setakat ini belum ada projek lain yang diluluskan,” katanya.

Menurut Fadillah lagi, jajaran tersebut juga akan dilengkapi kemudahan Hentian Sebelah atau Hentian Rehat Rawat yang menyediakan kemudahan atau dikenali sebagai ‘Segar’ merangkumi kawasan tempat letak kereta, plaza tol dan lot komersial yang juga merupakan konsep pertama seumpama itu di Malaysia.

“Secara tidak langsung Segar juga dapat membantu memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar jajaran SDL ini dan menjadikan kawasan ini sebagai salah satu pusat ekonomi dan tempat tarikan orang ramai.

“Di masa akan datang, Segar juga bakal dilengkapi dengan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter baharu untuk memastikan integrasi penuh di antara lebuhraya dan sistem pengangkutan awam,” katanya. - UTUSAN ONLINE