Mereka ialah penulis khas Mingguan Malaysia, Sahidan Jaafar, 54, dan Penolong Pengarang Al-Islam, Norimanah Seman, 48.

Sahidan yang berjaya menamatkan pengajian sarjana selama tiga tahun di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM memilih tajuk tesis mengenai ‘Kegemilangan Utusan Malaysia di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak’.

Malah, kata Sahidan, pemilihan tajuk tesis berkenaan juga sempena sambutan ulang tahun yang ke-80 Kumpulan Utusan pada 18 Jun 2018.

Sementara itu, Norimanah berkata, pengalaman selama 24 tahun berkecimpung dengan penulisan majalah di bawah Kumpulan Utusan mendorong minatnya menyambung pengajian berkenaan.

“Saya memulakan kerjaya sebagai wartawan majalah seperti Mastika sejak dari 1993 dan terlibat dengan majalah Al-Islam pada 2009.

“Apabila setiap hari membaca dan menyunting pelbagai cerita yang dihasilkan wartawan secara tidak langsung mendorong minat saya untuk sambung belajar.

“Tesis saya berkenaan ‘Liberalisme Agama’ dan tidak dinafikan kesibukan tugas di pejabat menyebabkan saya perlu membahagikan masa dengan bijak serta menguruskan keluarga.

“Saya juga terpaksa mengorbankan masa tidur dan perlu bangun seawal pukul 3 pagi bagi menyiapkan tesis dan itulah rutin harian sepanjang tiga tahun menyempurnakan minat dan impian,” luahnya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Majlis Konvokesyen berkenaan yang memasuki hari ketiga menyaksikan seramai 1,033 penerima Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dari dua fakulti. - UTUSAN ONLINE