Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dua vaksin tersebut ialah MMR bagi merawat penyakit demam campak, beguk dan ru­bela manakala difteria pula bagi mencegah penyakit kaki, tangan dan mulut.

Katanya, bagaimanapun per­kara itu masih di peringkat cadangan yang akan diputuskan menerusi penubuhan pasukan khas dalam masa terdekat.

“Pihak kementerian secara serius akan mempertimbangkan semua cadangan daripada pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan dengan mengambil kira kepentingan dan kesihatan kanak-kanak.

“Namun cadangan ini saya ambil kira secara mendalam kerana dengan mewajibkan satu hingga dua vaksin sebenarnya dapat mencegah kepada enam hingga tujuh jenis penyakit,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Institut Strategik Kingsley (KSI), Tan Sri Dr. Michael Yeoh.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan terus mengesyorkan golongan ibu bapa di negara ini memberi suntikan vaksin imunisasi kepada anak-anak mereka.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa memberi vaksin kepada anak.

“Ini membolehkan ramai lagi ibu bapa memberi vaksin kepada anak mereka dan tidak melayan hujah anekdotal yang mengaitkan pengambilan vaksin dengan penyakit seperti autisme.

“Vaksin itu hanya untuk mencegah penyakit,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kad Kategori Orang Kurang Upaya (OKU) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), hari ini.