Difahamkan, beberapa pelajar tahfiz yang terselamat turut melihat tong gas kuning tersebut yang sebelum ini tidak pernah diletakkan di tingkat tiga bangunan itu.

Seorang kakitangan pusat tahfiz berkenaan, Mohd. Arif Mawardi berkata, sebelum tidur pada pukul 11 malam, dia melakukan pemeriksaan di tingkat tiga dan tidak nampak tong gas kuning di luar pintu bilik asrama.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di tingkat dua sebelum terdengar bunyi kuat seakan ribut dipercayai kesan da­ri­pada tong gas yang terbakar.

“Saya kemudian cuba menye­lamatkan pelajar lain di tingkat tiga sebelum keluar dari bangunan tersebut namun saya pelik apabila mendapati ada dua tong gas ku-ning di luar pintu bilik asrama.

“Kebiasaannya tong gas dile­takkan di dapur di tingkat bawah pusat tahfiz dan tong gas yang ada pun berwarna hijau dan bukannya kuning,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Pengarah Ja­ba­tan Bomba dan Penyelamat Kua­la Lumpur, Khirudin Drahman ber­kata, siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas sebaliknya disebabkan beberapa unsur lain.

“Unit forensik mengambil masa kira-kira lima jam untuk menja­lankan siasatan dan mendapati ke­bakaran itu bukan disebabkan masalah litar pintas.

“Ada unsur lain namun semua­nya masih disiasat dan kita hanya boleh mendedahkannya selepas keputusan rasmi disahkan,” kata­nya.

Jelasnya, hasil siasatan juga men­dapati kotak suis utama elektrik di pusat tahfiz tersebut berada dalam keadaan yang baik.

“Bagaimanapun, kita dapati ca­ra api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan iaitu sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya sete-ngah jam untuk api marak dan merebak.

“Berdasarkan maklumat mang­sa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak,” katanya.