Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, dalam operasi selama dua hari yang digerakkan 12 anggota penguatkuasa kesihatan itu, sebanyak 11 tapak semaian telah diperiksa.

"Bagaimanapun dua premis didapati mempunyai tempat pembiakan aedes dalam bekas-bekas bagi tujuan kegunaan penanaman bunga seperti tayar yang mengandungi ada air dan jentik-jentik.

"Kesemua pengusaha tapak semaian yang terlibat akan dikenakan tawaran kompaun maksima RM500 di bawah Seksyen 25 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, jika sabit kesalahan boleh didakwa di mahkamah dengan denda RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah akta sama," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Anuar, pihaknya memandang serius isu pembiakan aedes di kebanyakan tapak semaian itu berikutan lokasinya yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan sekolah sekali gus boleh meningkatkan risiko pendedahan kes demam denggi kepada masyarakat dan pelajar.

Katanya, mana-mana pengusaha tapak semaian diwajibkan membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan memasukkan ubat bagi membunuh jentik-jentik terutamanya yang melibatkan bekas takungan air.

Menurut Mohd. Anuar, kes demam denggi sehingga minggu kedua tahun ini mencatatkan peningkatan iaitu satu kes berbanding tiada kes pada minggu yang sama tahun lalu. - UTUSAN ONLINE