Mereka yang hilang ialah Kamarol Arifin Mohamad Darus,27, dan Mohd Shafa Ahmad,29.

Kakak Kamarol Arifin, Junaina Mohamad Darus, 33, berkata, keluarganya menyedari kehilangan adiknya itu selepas dikatakan tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Ahad lalu.

Ujarnya, Kamarol Arifin dan Mohd Shafa sepatutnya tiba ke Malaysia kira-kira 11 malam namun mereka bagaimanapun tidak muncul.

“Bimbang akan keselamatan mereka, saya terus membuat laporan di balai Polis di KLIA2 selain melakukan semakan di kaunter imigresen bagi mengetahui status adiknya.

“Bagaimanapun, semakan mendapati, Kamarol Arifin dan Mohd Shafa dilaporkan telah keluar dari Malaysia dan tiba di Jakarta, Indonesia Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Junaina, Kamarol Arifin dan Mohd Shafa dikatakan telah ke Jakarta bersama enam lagi rakan mereka namun menaiki penerbangan berlainan.

“Mereka telah ke sana untuk menonton konsert sebuah kumpulan bersama enam lagi rakan, tetapi Kamarol Arifin dan Mohd Shafa telah pergi terlebih dahulu sebelum mereka.

“Enam rakan mereka yang tiba keesokannya bagaimanapun tidak berjumpa dengan Kamarol Arifin dan Mohd Shafa, malah kedua-dua mereka juga dikatakan tidak mendaftar masuk ke hotel tempat mereka menginap,” ujarnya.

Junaina menambah, kali terakhir mereka bertemu adalah Khamis lalu ketika menghantar adiknya itu ke KLIA2.

“Itu kali terakhir kami bertemu dan dia tidak menunjukkan sebarang reaksi pelik malah berpesan jangan lupa ambilnya semula Ahad lalu.

“Pelbagai usaha kami lakukan di sini termasuk membuat laporan kepada pihak Wisma Putra bagi mengesan kedua-dua mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE