Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata, dua pelajar prasiswazah warga tempatan itu dimasukkan ke HSA untuk saringan dan sudah dibenarkan kembali ke UTM bagi meneruskan pengajian.


Mereka kini dipantau Pusat Kesihatan UTM, diberi ubat dan rawatan selain dikehendaki membuat pemeriksaan berkala untuk menilai perkembangan semasa pelajar berkenaan.


“Bagi memastikan tiada penuntut lain yang dijangkiti penyakit berkenaan, Pusat Kesihatan UTM akan mengadakan saringan terhadap penuntut yang berhubung secara rapat dengan pesakit, terutama di fakulti dan rakan sebilik. 


“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pesakit TB akan sembuh dengan mengambil ubat secara berterusan dan pengawasan secara dekat oleh Pusat Kesihatan UTM,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.


Bagi memastikan semua pelajar berada pada tahap kesihatan yang memuaskan, UTM katanya, mengambil langkah proaktif dengan membuat saringan terhadap semua penuntut agar mereka tidak mengidap penyakit berjangkit.


Katanya, penuntut yang batuk berkahak lebih dua minggu dan demam terutama pada sebelah malam sahaja dinasihatkan membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UTM. -UTUSAN ONLINE