Pengayuh berkenaan, Mohd. Ka­ma­rul Zaman, 54, dan Saad Noordin, 65, berjaya menamatkan perjalanan sejauh 3,800 kilometer (km) merentasi 12 negeri selama 28 hari.

Projek kayuhan itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Jariah Malaysia, kerajaan negeri, Pejabat Pelancongan negeri, Briged Sukarelawan 1Malaysia dan Majlis Belia daerah.

Mohd. Kamarul berkata, sepanjang perjalanan tersebut, pelbagai rintangan ditempuhi bersama suka dan duka yang boleh dijadikan pe­nga­jaran dan pengalaman yang amat berharga.

“Sesungguhnya rakyat negara ini amat bertuah dan penuh dengan kemakmuran dan kedamaian berban­ding dengan negara-negara lain.

“Sepanjang perjalanan ini, ia amat menginsafkan diri dan memberi kekuatan dan semangat kepada kami untuk meneruskan perjalanan dan Alhamdulillah kami berjaya menamatkan misi kayuhan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Perwira Berbasikal Jelajah Semenanjung di pekarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Jeneri, di sini hari ini.

Mohd. Kamarul juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin serta rakyat Malaysia yang turut sama membantu mereka mengatasi pelbagai masalah ketika misi kayuhan.

Dalam pada itu, ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid mengucapkan tahniah di atas kecekalan kedua-dua pengayuh basikal terbabit yang berjaya menamatkan misi sambil mempromosikan TMK 2016.

“Misi ini amat bermakna sekali, walaupun mereka berdua dikategorikan sebagai berumur dan warga emas, tetapi mampu menyelesaikan misi dengan sempurna,” katanya.

Kayuhan Jelajah Semenanjung Malaysia sempena TMK 2016