Muhammad Aiman Tahiruddin, 17, serta Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin, 18, bersama masing-masing seorang dari Indonesia dan Jepun akan menyertai program berkenaan yang mendapat kerjasama daripada Valentino Rossi’s VR46 Riders Academy untuk mencungkil dan mengenal pasti bakat baharu pelumba muda.

Kesemua pelumba terbabit aktif mengambil bahagian dalam Asia Road Racing Championship dan siri perlumbaan tempatan.

Yamaha Motor Co. Ltd. dalam satu kenyataan memaklumkan, pelumba-pelumba tersebut bakal mengikuti latihan selama seminggu di Rossi’s Motor Ranch dan Litar Lumba Dunia Marco Simoncelli di Misano di bawah kendalian kakitangan serta pelumba Akademi Pelumba VR46.

“Kebanyakan pelumba di akademi itu mengambil bahagian dalam perlumbaan Kejohanan Dunia Moto2 dan Moto3,” jelas kenyataan itu, semalam.

Menurutnya, Yamaha mula membina infrastruktur bagi mengetengahkan bakat-bakat baharu pada 2015 untuk menyertai perlumbaan bertaraf dunia.

Katanya, setahun kemudian, program Yamaha VR46 Master Camp diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan.

“Setakat ini sebanyak 28 peserta program kebanyakannya remaja terlibat dengan pelbagai perlumbaan menggunakan motosikal-motosikal YZF-R25 dan YZF-R3.

“Mereka datang dari 13 negara iaitu Australia, Brazil, Canada, Finland, Perancis, Indonesia, Itali, Jepun, Malaysia, Belanda, Thailand, Ukraine dan Amerika Syarikat,” ujarnya.

Antara yang menyerlah ialah Apiwat Wongthananon dari Thailand yang terpilih menyertai pasukan VR46 Master Camp dalam Kejohanan Dunia CEV Moto3 Junior bagi musim 2017 dan 2018.

Pelumba Indonesia, Galang Hendra Pratama sekarang menyertai perlumbaan Supersport Dunia Kelas 300.

Selain itu, pelumba Itali, Alfonso Coppola berjaya membina kerjaya di Kejohanan Supersport Dunia.

Jelas kenyataan itu lagi, kejayaan para pelumba muda terbabit membuktikan sistem yang diperkenalkan Yamaha mula membuahkan hasil. - UTUSAN ONLINE