Ibu murid berkenaan Anizakiah Makmin, 40, ketika ditemui di sekolah tersebut menemani anaknya mengambil slip keputusan hari ini berkata boleh dikatakan ketika di Tahun Tiga atau Empat, Adrianna Alyssa, hanya hadir sekolah untuk setengah tahun sahaja.

Menurutnya, Adrianna Alyssa, 12, yang menghidap masalah usus ketika itu hanya menghadiri kelas selama dua atau tiga hari seminggu kerana perlu menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Biarpun berada di wad, anak saya tetap melakukan pelbagai latihan, membaca buku dan mengambil tahu kerja rumah yang diberikan guru kepada kawan-kawan sekelas," kata Anizakiah. Kesihatan Adrianna Alyssa semakin baik pada tahun lepas dan pulih sepenuhnya kini.

Anizakiah, yang juga seorang guru berkata, beliau dan suami Muhammad Aris Shuib, 48, yang bertugas di Jabatan Pendidikan di sini cuba sedaya upaya untuk mengajar anak mereka di rumah dan menyifatkan kejayaan anaknya itu hasil komitmen banyak pihak termasuk guru-guru dan pihak sekolah.

Keputusan UPSR ialah satu daripada empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang dilaksanakan bagi murid Tahun Enam. Komponen lain PPSR ialah kecerdasan semula jadi dan aptitud; kecergasan, tahap kesihatan dan aktiviti luar bilik darjah; serta tahap penguasaan mata pelajaran di sekolah.

UPSR terbahagi kepada enam mata pelajaran iaitu bahasa Melayu (pemahaman), bahasa Melayu (penulisan), bahasa Inggeris (pemahaman), bahasa Inggeris (penulisan), matematik dan sains.

Seorang lagi murid sekolah berkenaan yang mendapat 6A dalam UPSR, Nur Raisah Syifa Shaiful Annuar, sebelum ini menghabiskan masa Tahun Tiga dan Empat di sebuah sekolah tahfiz swasta di Shah Alam sebelum menyambung pelajaran di SK Putrajaya Presint 11(1).

Ibunya, Elene Marhaine Manshor, 40, berkata Nur Raisah Syifa kembali bersekolah di sini pada tahun lepas memandangkan sekolah tahfiz berkenaan jauh dari rumah mereka di sini.

Menurutnya, sejak bersekolah di sini anak kedua daripada lima beradik itu begitu disiplin dan tekun mengulangkaji pelajaran sehingga pukul 2 pagi setiap hari kerana bimbang tertinggal pelajaran di sekolah Putrajaya itu selama dua tahun.

"Saya percaya teknik pembelajaran di tahfiz melatih memori anak saya untuk mudah mengingati pelajaran," katanya.


Ketika ditemui selepas mendapatkan slip keputusan bersama ibunya, Nur Raisah Syifa yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar forensik tidak dapat mengungkapkan kata-kata dan tidak henti mengalirkan air mata kerana terlalu gembira.

Guru besar sekolah itu, Rohana Abd Manaf berkata daripada jumlah keseluruhan 152 pelajar yang mengambil keputusan UPSR pada hari ini, 19 pelajar mendapat 6A.

Peratus penguasaan tahap minima pelajar sekolah berkenaan turut meningkat kepada 98.03 peratus berbanding 91 peratus pada tahun lepas, katanya. - BERNAMA