Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Ija Husna Ruslan,14, berjaya menduduki kedudukan kelima terbaik dunia bagi kategori hafalan nombor punca kuasa dua.

Manakala pelajar tingkatan empat SMK Tuanku Lailatul Shahreen Teoh Kar Keat pula menduduki tempat ke-13 terbaik dunia bagi hafalan nombor eksponen-e.

Ija Husna berjaya menghafal 2,502 digit bagi kategori nombor punca kuasa dua hanya dalam masa 19 minit 53 saat, manakala Kar Keat pula menghafal 1,002 digit dalam tempoh lapan minit tiga saat bagi acara hafalan nombor eksponen-e.

Kedua-dua pelajar berkenaan berjaya memecah rekod tersebut dalam pertandingan Menghafal Nombor P peringkat negeri 2019 yang diadakan serentak di beberapa sekolah mengikut zon, Selasa lalu.

Pertandingan yang kali kedua diadakan itu adalah hasil inisiatif Institut Matematik Kejuteraan (IMK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan kerjasama Kelab Pascasiswazah IMK Unimap; Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP); Jabatan Pendidikan negeri dan Sekretariat Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Unimap.

Pertandingan itu disertai 800 orang peserta dari 19 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan 18 SMK dengan empat kategori dipertandingkan antaranya seperti hafal nombor PI; nombor eksponen dan nombor punca kuasa dua.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra di sini pada 3 Mei depan.

Sementara itu, Ija Husna berkata, dia meminati hafazan nombor P sejak daripada sekolah rendah dan mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan tersebut bagi mengenengahkan bakatnya.

Katanya, tujuan dia menyertai pertandingan tersebut adalah untuk menguji daya ingatan selain boleh membantunya membentuk kemampuan diri di dalam bidang berkenaan.

“Keluarga dan guru adalah pendorong saya menyertai pertandingan ini. Tidak sangka pula, saya mampu memecahkan rekod negara dan berada dalam kedudukan terbaik di dunia.

“Insya-Allah, saya akan mempertingkatkan usaha untuk terus mencipta kejayaan pada masa hadapan seterusnya mengharumkan nama negeri serta negara,” katanya yang meminati mata pelajaran Sains dan Matematik.- UTUSAN ONLINE