Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan pertama diputuskan kerajaan adalah wakil Israel tidak dibenarkan masuk ke negara ini bagi menghadiri sebarang acara sama ada bertaraf antarabangsa, sukan dan sebarang program lain.

Katanya, kedua adalah Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah kepada apa-apa acara yang mempunyai penglibatan rakyat Israel.

“Sebelum pentadbiran baharu, telah ada tiga mesyuarat Kabinet yang buat keputusan penting tentang hubungan Malaysia dengan Israel.

“Bagi keputusan dua minggu lalu, saya kiranya adalah pendirian paling tegas pernah dibuat (membabitkan hubungan Malaysia dan Israel,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima memorandum daripada 43 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembebasan Palestin di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menerima memorandum yang diserahkan Pengerusi Boycott Divesment Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail yang menyatakan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Malaysia kerana tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Tindakan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan tersebut yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Ini memandangkan kejohanan itu dikatakan sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selaku penganjur kejohanan berkenaan turut dilaporkan berdepan situasi ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’ ekoran larangan terhadap atlet Israel daripada menyertai pertandingan itu.

MPM sedar, Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun dalam masa sama menjangkakan tekanan berterusan bakal diberikan negara itu melihat kenyataan yang dikeluarkan.-UTUSAN ONLINE