Pun begitu, Noridah Mohd. Nor, 40, bersama adiknya, Norizan, 38, bersyukur kepada Allah SWT kerana masih mempunyai tempat tinggal di sebuah rumah usang peninggalan arwah ibu mereka, Zawiyah Jusoh.

Jika melihat rumah diduduki dua ibu tunggal itu, keadaannya cukup daif dengan bumbungnya bocor, lantai tidak mempunyai tikar, tempat tidur hanya beralaskan tilam usang serta tiada aspek keselamatan.

Walaupun rumah itu dibina tidak begitu sempurna, tetapi itulah satu-satunya tempat perlin­dungan yang dimiliki Noridah dan Norizan bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Noridah berkata, rumah serba kekurangan yang dibina atas tanah milik individu lain tersebut diduduki mereka sejak 2004.

“Ini saja tempat tinggal yang saya ada, dengan keadaan saya yang tidak bekerja dan hanya bergantung hidup pada pencen arwah suami RM900 sebulan, saya tidak mampu untuk menyewa rumah lain yang lebih selesa.

“Dengan duit itu, saya perlu menanggung dua anak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar di sini dan seorang anak bongsu berusia tiga tahun yang mana kos susu dan lampin pakai buang RM200 sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya itu hari ini.

Noridah berkata, rumah itu juga tiada aspek keselamatan dan pernah dimasuki tiga pencuri bersenjata pedang samurai pada 2014.

Memikirkan rumah berkenaan dibina atas tanah milik individu lain, dia mengakui mereka sekeluarga memerlukan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Saya tidak tahu tinggal di sini sampai bila tetapi rumah-rumah yang dibina di kawasan sekitar rumah saya ini sudah pun dihalau oleh tuan tanah dan kini hanya tinggal rumah saya.

“Kalau boleh dapat rumah PPRT pun tak apa walaupun sempit, janji ada tempat selamat untuk saya dan anak-anak tinggal. Itu yang lebih penting,” katanya.

Dalam pada itu, Noridah memaklumkan, dia dan adiknya yang juga tidak bekerja mahu hidup berdikari dengan menjalankan perniagaan iaitu menjual nasi lemak tanpa mengharapkan simpati daripada mana-mana pihak.

Namun, hasratnya itu sehingga kini masih belum tertunai disebabkan dia tidak mempunyai modal dan kenderaan bagi tujuan terbabit yang merupakan keperluan utama dalam menambah pendapatan hariannya sekeluarga.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh meng­hubungi Noridah di talian 0136604973.