Sri Rahayu Mohd. Yusop, 40, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pan­dan Jaya, Ampang, menda­pat tempat kedua sekali gus memba­wa pulang wang tunai RM6,000.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, beliau perlu bijak membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai pendidik, ibu serta isteri dan justeru itu beliau menggunakan cuti sekolah pada November serta Disember untuk berkarya.

“Saya bersyukur sangat kerana tulisan saya masih dihargai dan ini adalah kali ketujuh saya me­raih hadiah utama daripada 11 penyertaan.

“Cabaran utama untuk menulis novel Empunya Kalbu ini adalah saya terpaksa melakukan kajian selama tiga tahun kerana buku ini berkisarkan tentang keris Me­layu,” katanya.

Sementara itu, tempat ketiga, Nazri Hussein atau nama pena­nya Husna Nazri, 50, berasal dari Kemaman, Terengganu yang membawa pulang wang tunai RM4,000 memberitahu, beliau mengambil masa sebulan menulis novel berjudul Nyanyian Musim Rusuh.

Guru Pendidikan Agama Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Anak Dara, Kijal, Kemaman berkata, beliau begitu teliti dan berhati-hati apabila menulis novel tersebut kerana ia mengisahkan pe­ngalaman seorang kanak-kanak Cina dalam rusuhan 13 Mei 1969.

“Rusuhan itu adalah sejarah dalam negara kita. Jadi saya perlu memastikan setiap perkataan yang digunakan adalah tepat dan tidak menyentuh mana-mana sentimen.

“Atas usaha keras tersebut, saya bersyukur kerana diiktiraf dalam pertandingan kali ini dan novel ini adalah yang kelima memenangi tempat utama,” katanya.

Kedua-dua novel tersebut yang diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., masing-masing dijual pada harga RM33.50 dan RM33.