Mohd. Wazir

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang di Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu hasil risikan anggotanya.

“Siasatan awal mendapati wanita ini diupah oleh seorang lelaki untuk mencari mana-mana individu yang berminat membeli darjah kebesaran Pahang iaitu Datuk dan Datuk Seri yang tidak wujud pada harga antara RM180,000 hingga RM400,000.

“Kami menahan suspek kedua iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun hari ini juga di Kuala Lumpur kerana disyaki terlibat dalam ke­giatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Melalui akaun Facebooknya, wanita berkenaan memuat naik status yang meminta sesiapa berminat mendapatkan gelaran darjah kebesaran Pahang supaya menghubunginya.

Menurut Mohd. Wazir, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek ketiga iaitu seorang lelaki berusia dalam lingku­ngan 40-an yang menyamar sebagai kerabat diraja dipercayai merupakan dalang utama kegiatan menjual darjah kebesaran negeri ini.

“Lelaki ini dipercayai melarikan diri selepas mendapat tahu kita menahan suspek wanita ber­kenaan. Wanita dan lelaki yang ditahan masih merahsiakan identiti dalang utama itu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Wazir, polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kegiatan itu dan meminta mangsa tampil membuat laporan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran seumpama itu dan membuat semakan dengan pihak berkuasa bagi mengelak menjadi mangsa.