Penglibatan Petronas dalam acara sukan permotoran paling berprestij itu bukan sahaja me­lonjak jenama syarikat minyak dan gas negara itu menjadi jenama global bahkan mengangkat nama negara di persada dunia.

Bermula dengan penajaan pasukan F1 Red Bull-Sauber pada 1995, Petronas mengukir kejayaan demi kejayaan dalam mengungguli teknologi perlumbaan dan penghasilan bahan bakar.

Penglibatan membanggakan ialah pada 1997 apabila Petronas menjadi penaja utama pe­nganjuran F1 dan penaja jentera untuk pasukan Sauber Petronas Formula 1. Sejak itu, perlumbaan F1 dan Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing.

Bahkan Malaysia menjadi negara ASEAN pertama memiliki litar F1 sendiri iaitu Litar Antarabangsa Sepang yang membuka tirai perlumbaan pertamanya pada Oktober 1999 melalui pe­nganjuran F1 Dunia musim ke-50.

Dalam memenuhi impian untuk memiliki pasukan F1 sendiri, Sauber Engineering AG ditubuhkan dan dari situ bermulalah Program Pemindahan Teknologi F1 yang memberi pendedahan teknologi kepada jurutera tempatan dalam sukan itu.

Pada tahun yang sama, Petronas membuka lembaran baharu dalam program pembangunan teknologi F1 apabila memperoleh hak penajaan utama untuk Formula 1 Malaysia Grand Prix.

Peluang dan kelebihan itu te­rus memacu keupayaan teknologi dan sumber manusia sehingga terciptanya enjin komersial prototaip Eo1 oleh jurutera tempatan Petronas.

Pada 2001, seramai lapan jurutera Petronas dipilih menjalani Program Pemindahan Teknologi F1 bersama pasukan F1 Sauber.

Kecemerlangan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) Petronas mencatat satu lagi pencapaian membanggakan melalui pelancaran produk pe­lincir berprestasi tinggi iaitu PETRONAS Syntium 3000 pada 2003.

Pada 2004, PET­RONAS Syntium 5000 diperkenalkan hasil pembangunan ternologi di Makmal Penyelidikan dan Perkhidmatan Saintifik Petronas untuk kereta lumba F1.

Kerjasama dan perkongsian pin­tar antara Petronas dengan Sauber dilanjutkan pada 2005 apabila Petronas menjadi rakan premium kepada pasukan BMW Sauber F1 rentetan pengambil­alihan BMW dalam Petronas Motorsports.

Selain pacuan untuk bergelar juara, Petronas turut me­nyedari keperluan pengemba­ngan bakat dalam kala­ngan anak tempatan. Justeru itu, Petronas dengan kerjasama pasukan BMW Sauber F1 memperkenalkan PETRONAS Formula Xperience (PFX) pada 2006.

Program pencarian bakat remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun itu merupakan sekolah perlumbaan yang menyasarkan juara-juara go-kart tempatan untuk dikembangkan menjadi juara perlumbaan khususnya F1.

Lembaran seterusnya bermula apabila Petronas menjadi penaja utama Silver Arrows atau Mercedes AMG PETRONAS Mo­torsport pada 2010 melalui kontrak Nico Rosberg dan Michael Schumacher sebagai pemandu.

Mercedes AMG PETRONAS membuktikan keupayaan teknologi berteraskan kuasa pecutan bahan bakar Petronas dengan memenangi Grand Prix di China pada 2012. Setahun kemudian, pasukan itu menerima kemasukan Lewis Hamilton sebagai perunding prestasi teknikal.

Pada 2014, pasukan itu muncul sebagai juara dunia buat kali pertama dalam kategori Pengeluar dan Pemandu.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan dominasi selama empat tahun oleh Red Bull ka­tegori utama perlumbaan F1.

Mercedes AMG PETRONAS menyambung dominasi dengan merangkul kemenangan dalam dua kategori buat kali kedua pada 2015 dan mengekalkan kejuaraan ketiga pada tahun berikutnya melalui kehebatan pemanduan Hamilton mengatasi jentera-jentera hebat seperti Ferrari, Honda dan Renault.

Kejayaan ini membuktikan penglibatan syarikat minyak dan gas negara dalam teknologi permotoran kelas tertinggi ini telah membuahkan hasil yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat negara ini.

Walaupun penganjuran F1 pada tahun ini menjadi yang ter­akhir di SIC, Petronas masih meneruskan penajaan pasukan Mercedes AMG Petronas dalam F1.

Bersandarkan komitmen ya­ng dibuktikan oleh syarikat kebanggaan negara itu, rakyat Malaysia yakin Petronas akan meneruskan komitmen dan menjadi pemang­kin dalam pembangunan sukan permotoran di negara ini.