Mayat Muhammad Azriell Haikal Fauzi, 13, dan adiknya Muhammad Harries Daniel, 11, dijumpai terapung di tali air itu kira-kira pukul 8.45 pagi oleh datuk mereka, Mamud Embong, 66.

Menurut Mamud, dia mula mencari cucunya itu sejak pukul 9 malam sejurus dimaklumkan oleh anak perempuannya yang kedua-dua mereka masih tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar memancing.

Katanya, dengan bantuan saudara-mara gerakan mencari dua beradik itu digerakkan sepanjang malam hingga lah terdetik untuk meninjau di kawasan tali air Kampung Gong Baru.

“Saya nampak jenazah kedua-dua cucu saya terapung dan ada bersama sepasang selipar serta segulung tali tangsi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Juraidah Mamud, 35, berkata, dia tidak menyangka kedua beradik itu pergi ke tali air berkenaan kerana jarak kawasan tersebut dengan rumah mereka mengambil masa kira-kira 20 minit jika berjalan kaki.

Katanya, ibu mangsa, Nor Juliana Mamud, 37, terlalu sedih dengan kehilangan anak kedua dan ketiga daripada lima adik-beradik itu dan hanya berada di rumah ketika jenazah anaknya dikebumikan.

Jenazah dua itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tok Nasek pukul 6 petang hari ini. - UTUSAN ONLINE