Normala Syakila Arman, 21, perlu menguruskan Muhammad Haraz Asyraf Abdul Hafiz berusia setahun dan Muhammad Hariz Asyraf (dua bulan) yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Muhammad Hariz Asyraf turut mengalami bengkak hati dan terpaksa minum menggunakan tiub.

Normala Syakila yang tidak bekerja berkata, dia kini menetap di rumah ibu dan ba­panya di kawasan perumahan tersebut selepas berpisah de­ngan suaminya.

“Muhammad Haraz Asyraf sebelum ini mempunyai tiga lubang pada jantungnya yang mana dua daripadanya telah dirawat manakala Muhammad Hariz Asyraf mempunyai satu lubang dan akan membuat rawatan pada 28 Februari ini.

“Saya memerlukan lebih RM1,000 sebulan untuk per­belanjaan makanan dan kos rawatan kedua-dua anak ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Normala Syakila, dia kini menerima bantuan zakat RM1,000 namun jumlah itu tidak mencukupi kerana terpaksa ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh bagi mendapatkan rawatan anak­nya.

“Saya tidak boleh bekerja kerana menjaga dua anak ini dan mengharapkan pertolo­ngan keluarga untuk menjalankan urusan seharian,” ujarnya.

Tambahnya, ibu dan bapa­nya juga tidak mampu menampung kos rawatan dua anaknya itu kerana mereka perlu menguruskan empat lagi adik yang masih bersekolah.

Orang ramai boleh menya­lurkan bantuan secara te­rus ke akaun Bank Islam 06037023296993 atas nama Normala Syakila.