Balu beranak empat, Raja Nurliza Raja Daud, 43, dari Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa di sini, terbabit dalam kemalangan pada 12 Julai lalu yang mengakibatkan kecederaan kepala sekaligus menyebabkannya terlantar sehingga ke hari ini.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan pemergian suaminya ke rahmatullah, Dakhlan Yusof pada 31 Ogos lalu akibat komplikasi kencing manis yang dideritai lebih dua tahun.

Dua anak Raja Nurliza, iaitu yang sulung, Nik Nor Fatin, 23, berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa berkorban sepenuh masa menjaga ibunya, manakala anak kedua, Nik Muhammad Faez, 19, pelajar tahun satu Diploma Herba dan Hasilan Semulajadi, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong, Perak terpaksa menangguhkan sementara pengajian sejak Julai lalu.

Menurut Nik Muhammad Faez, dia mengambil cuti selama enam bulan dan hanya akan menyambung semula pengajiannya Januari tahun hadapan jika ada rezeki.

“Saya balik sebaik mendapat berita ibu kemalangan untuk menjaganya di hospital apatah lagi ketika itu kakak saya memerlukan bantuan kerana arwah ayah pun sudah lama sakit.

“Selain membantu kakak menguruskan ibu, saya juga bercadang bekerja sementara untuk menampung kehidupan kami,” katanya kepada Utusan Online.

Dua lagi adiknya adalah Nik Muhammad Fikri, 17, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini manakala Nik Nor Farah Syuhada, 11, berada di Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan (SK) Kemumin.

Adik-beradik ini ditemui semasa lawatan oleh guru SMK Kemumin yang diketuai Setiausaha Kebajikan Unit Hal Ehwal Murid, Norizan Amin dan Guru Kanan Sains dan Matematik, Nor Azizah Md Nordin ke rumah nenek mereka, Mek Som Awang Ahmad, 67, di Kampung Pulau Gajah Hilir.

Sementara itu, Norizan berkata, pihak sekolah akan membantu memastikan kebajikan Nik Muhammad Fakri terutama menyokong keperluannya dalam menghadapi SPM nanti.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada akaun simpanan Nik Nor Fatin Dakhlan 03011-41-00009596-0 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi Raja Nurlida Raja Daud (0179340645). - UTUSAN ONLINE