Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang meluangkan masa bertemu dua anggota terbabit berkata, tindakan mereka patut dicontohi dan diikuti oleh semua anggota tentera dan warga Kementerian Pertahanan.

Menurut beliau, kisah mereka turut menggambarkan anggota-anggota tentera sentiasa bersedia mengerah keringat membantu masyarakat apabila diperlukan sejajar dengan slogan ‘Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’.

“Dalam landskap politik hari ini, saya percaya kisah-kisah seumpama ini amat penting diketengahkan kerana ia berupaya membawa kesan positif dan membawa harapan baharu kepada masyarakat.

“Justeru, pertemuan saya de­ngan kedua-dua anggota ini diadakan bertujuan mengucapkan tahniah dan terima kasih sete­rusnya memberi kata-kata semangat kepada mereka agar terus melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota tentera dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pertemuan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Hishammuddin memberitahu, Muhamad Idlan dari Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanize yang berpangkalan di Kem Daralockwood, Kuantan telah menyelamatkan nyawa seorang lelaki dan anak­nya dari Kampung Semangat, Kuantan daripada lemas dalam tali air di kampung tersebut.

“Ketika bertugas di sebuah pe­nempatan banjir, Muhamad Idlan terdengar jeritan meminta tolong dari kawasan berhampiran. Tanpa berlengah, dia segera menghulurkan kayu bagi menyelamatkan si ayah dan kemudiannya terjun berenang bersama pakaian tenteranya ke tengah-tengah tali air bagi menyelamatkan si anak,” jelasnya.

Shahrudin yang bertugas di Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu pula telah membantu seorang lelaki di bandar tersebut yang berdepan kesulitan dalam perjalanan menghantar isterinya ke hospital ekoran kesesakan jalan raya.

“Shahrudin menahan dan me­ngarahkan kenderaan lain untuk memberi laluan seterusnya mengiringi kenderaan pasangan terbabit ke hospital dan tindakan itu telah menyelamatkan nyawa wanita terbabit dan kandungannya,” katanya.