Mohd. Helimy Samat, 40, dan Siti Mariam Md. Yusof, 60, membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dekat sini, petang tadi.

Menurut Mohd. Helimy, lelaki yang menggunakan nama, Tandiko Dalusin itu memuat naik status mengandungi sembilan dakwaan fitnah termasuk mengatakan dia memperoleh jawatan itu kerana mendampingi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Ismail Ahmad dari PKR.

Katanya, beliau turut difitnah sebagai ahli UMNO yang menyertai PKR semata-mata untuk mendapatkan jawatan.

"Malah gambar saya bersama penceramah terkenal, Syamsul Debat turut dijadikan bahan fitnah untuk kaitkan saya dengan UMNO sedangkan penceramah itu adalah rakan saya.

"Tuduhan ini mencemarkan nama baik saya dan ingin saya jelaskan bahawa jawatan ahli majlis ditawarkan kepada saya atas platform profesional sebagai jururancang bandar bertauliah," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Helimy, lelaki yang didakwa memfitnahnya difahamkan bekas ahli sebuah parti dalam kerajaan dan dipercayai berbuat demikian kerana tidak dipilih memegang jawatan sebagai ahli majlis.

Sementara itu, Siti Mariam berkata, beliau kecewa kerana dituduh oleh lelaki berkenaan kononnya telah merasuah Ismail untuk mendapatkan jawatan ahli majlis.

"Sebenarnya saya ditawarkan memegang jawatan itu. Tuduhan berkenaan telah menjatuhkan imej saya sebagai ahli majlis dan Ketua Wanita PKR Labu," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Mohd. Helimy, G. Ganeson berkata, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia esok bagi menyiasat kes berkenaan.

"Kita akan hantar surat tuntutan maaf kepada penama dan beliau mesti memohon maaf dalam tempoh 14 hari. Jika tidak, kita akan failkan saman fitnah terhadapnya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE