Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengoperasian DTBKN akan mengguna pakai model Program Makanan Sedunia (WFP) - Respons Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD) di Subang yang menguruskan misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di rantau Asia Pasifik.

"Depot berkenaan mempunyai keluasan 12,486 meter persegi dan ditubuhkan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan di antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Pertahanan.

"DTBKN juga menggunakan kemudahan sedia ada di Depot Simpanan Pertahanan di Sungai Buloh berikutan lokasinya yang strategik dan berhampiran dengan jaringan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan Bencana Negeri Bilangan 1/2017 di bangunan Parlimen hari ini. - UTUSAN ONLINE