Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan berkata, beliau menggantikan Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan yang telah tamat tempoh lantikan pada 31 Disember lalu. 


Menurutnya, Dr. Mohd. Rushdan mencatat sejarah apabila beliau menjadi staf USIM pertama dilantik memegang jawatan tersebut.


“Seluruh pihak pengurusan universiti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas lantikan ini dan berharap beliau menyumbang kepada kejayaan USIM sebagai Kampus Barakah dan mempertingkatkan peranan alumni untuk kembali menyumbang kepada alma mater.


“Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad serta seluruh warga USIM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Dr. Hassan Basri atas khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat,” kata kenyataan itu di sini. 


Menurut kenyataan itu, Dr. Mohd. Rushdan yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang Pengajian Islam dari University of Exeter, United Kingdom dilantik kerana kepemimpinannya terserlah dalam melaksanakan pelbagai tugas pengurusan dan pentadbiran dengan cemerlang. 


Anak jati kelahiran Perak itu pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah di Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akademik USIM dari April hingga Ogos 2018, Timbalan Pengarah di Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (2015-2017) dan Pengarah di Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (2012-2015).


Beliau juga pernah menjadi Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (2010-2012); Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan (2008-2010) dan Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam (2008-2010). 


Mengulas pelantikan tersebut, Dr. Mohd. Rushdan berkata, beliau ingin memacu kecemerlangan mahasiswa dan alumni USIM untuk bersama-sama menaikkan imej universiti itu di dalam dan luar negara. 


“Mahasiswa dan alumni USIM yang berpengaruh dan berjaya di luar menjadi penanda aras kehebatan sesebuah institusi pendidikan. Dalam konteks universiti, alumni menjadi salah satu pemegang taruh yang penting untuk menaikkan imej universiti. 


“Selain itu, saya juga berhasrat mewujudkan budaya menyumbang kembali kepada universiti sama ada melalui endowmen, kepakaran, pembangunan akademik, program sahsiah pelajar, jalinan kerjasama, promosi dan sebagainya,” katanya.


Ujarnya, tumpuan juga akan diberi kepada keberhasilan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) di USIM dan ingin memperkukuhkan kompetensi mahasiswa dalam tiga aspek utama iaitu holistik, seimbang dan keusahawanan. - UTUSAN ONLINE