Dr. Maszlee tiba di sekolah berkenaan kira-kira pukul 8.10 pagi sempena program Singgah Cakna 
SMK Padang Midin yang dilangsungkan khas bagi meraikan pelajar tingkatan dua itu.

Kunjungan beliau diiringi Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan yang 
turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Jelani Sulong dan 
Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Turut diraikan dalam majlis itu ialah bapa pelajar itu, Khamis Jusoh, 63, dan dua beranak itu 
dibawa naik ke pentas dewan sekolah berkenaan sebagai tetamu istimewa sambil disaksikan 
guru-guru serta para pelajar sekolah tersebut.

Muhammad Syukur, 14, tampil mengenakan pakaian songket kehijauan dan lengkap bertanjak 
umpama gaya seorang pahlawan Melayu, diarak ke pentas utama yang kemudiannya terus 
menjadi buruan lensa kamera mengajaknya berselfie termasuk dengan Maszlee sendiri.

Populariti pelajar itu yang juga terkenal dengan jolokan `Syukur Kampung Boy' dari Kampung 
Kubang Bujuk dekat sini itu semakin terserlah apabila fotonya sambil beraksi dengan haiwan 
peliharaan bapanya termasuk kerbau menjadi tular di media sosial hingga peringkat dunia. 

Dalam majlis itu, Maszlee turut meraikan kejayaan seorang pelajar bukan Islam dari Sekolah 
Kebangsaan (SK) Tok Jiring iaitu Por Hui Ling yang mendapat keputusan cemerlang 8 A dalam 
Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). - UTUSAN ONLINE