Turut diraikan dalam program Singgah Cakna SMK Padang Midin tersebut ialah bapa pelajar tingkatan dua itu, Khamis Jusoh, 63, dan dua beranak itu dibawa naik ke pentas di dewan sekolah berkenaan sebagai tetamu istimewa sambil disaksikan guru serta para pelajar sekolah tersebut.

Muhammad Syukur, 14, tampil mengenakan pakaian songket kehijauan dan lengkap bertanjak umpama gaya seorang pahlawan Melayu, diarak ke pentas utama yang kemudian terus menjadi buruan lensa kamera mengajaknya berswafoto termasuk dengan Maszlee sendiri.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin; Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Jelani Sulong dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Turut diraikan dalam majlis itu ialah murid bukan Islam, Por Hui Ling, yang mendapat keputusan cemerlang 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) baru-baru ini.

Populariti Muhammad Syu­kur, anak bongsu daripada lapan beradik dari Kampung Kubang Bujuk itu, semakin terserlah apabila fotonya beraksi dengan haiwan peliharaan ba­panya termasuk kerbau menjadi tular dalam media sosial hingga peringkat dunia.

Keistimewaan serta kelebihan yang dimiliki pelajar SMK Padang Midin itu yang memperlihatkan keakrabannya dengan berbaring di atas belakang kerbau selain membelai dan meng­usap tanduk haiwan itu benar-benar mencuri tumpuan ramai.

Gambarnya itu dirakam sambil beraksi mesra dengan ge­rombolan kerbau peliharaan sehingga tular dalam media sosial, hasil sentuhan dan kreativiti dua orang jurugambar dikenali sebagai Dollah Deen Photography dan Mohd. Nazri Sulaiman.

Dollah berasal dari Kelantan tetapi bekerja di Kuala Terengganu manakala anak jati Terengganu, Mohd. Nazri pada masa ini tinggal menetap di Lembah Klang.