"Saya tidak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak (sesuatu yang telah diarahkan), telah dibuat kelmarin, bukan hari ini," kata Pengerusi Pakatan Harapan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Abdul Rahman.

Dr Mahathir turut membidas tindakan sesetengah pegawai kerajaan yang melambatkan sesuatu keputusan hingga terpaksa ditukar ke jabatan lain demi melicinkan pentadbiran.

Beliau turut memberikan contoh tindakan pegawai yang melengahkan pelantikan pegawai menteri sehingga tidak dibayar gaji sejak empat bulan lepas.

“Oleh sebab tertentu kita tidak boleh mencapai 100 peratus janji kita. Kerosakan dalam kerajaan jauh lebih buruk sehinggakan ada orang elak laksanakan keputusan-keputusan yang telah dibuat.

“Kita dapati ada pegawai masih setia kepada pentadbiran lepas dan Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak). Apabila kita lantik pegawai, menteri berhak mendapatkan kakitangan mereka. Walaupun saya sudah luluskan pelantikan, tapi mereka masih belum mendapat gaji kononnya ada tidak kena dengan pelantikan.

“Bila Kabinet putuskan untuk ambil tindakan, barulah gaji dibayar,” katanya. 

Berhubung mesyuarat hari ini, Dr Mahathir berkata, beberapa perkara dibincangkan termasuk tahap kepuasan hati rakyat kepada kerajaan, peranan yang boleh dimainkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun depan atau berikutnya selain hal dalaman gabungan kepartian. - BERNAMA