Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan khususnya membabitkan perkara besar seperti Perlembagaan ini.

Beliau juga tidak pasti sama ada Dr. Mahathir melihat secara terperinci atau sebaliknya ketika mengeluarkan kenyataan tersebut kerana jelas dalam fasal 71 Perlembagaan menyebut Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri.

Ramlah Adam
Ramlah Adam 

“Antaranya ialah Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu.

“Kenyataan Dr. Mahathir dilihat bertentangan dengan fasal-fasal tertentu di dalam Perlembagaan. Perlu diingat, konsep Persekutuan tidak akan wujud jika negeri-negeri ini tidak menjadi anggota.

“Ketika negeri-negeri menyertai Tanah Melayu dahulu, Raja-Raja yang tandatangani. Begitu juga ketika negara merdeka dan pembentukan Malaysia. Kedudukan Raja-Raja ini mesti dihormati,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc turut menjelaskan secara ringkas mengenai pembentukan Perlembagaan tersebut serta kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Tambah Ramlah yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Silibus dan Buku Teks Sejarah sekolah menengah, negeri-negeri yang menjadi anggota di dalam Persekutuan juga mempunyai autonomi tertentu.

Dalam masa sama, beliau juga menegaskan bahawa Undang-Undang Tubuh Negeri adalah terpakai dengan raja mempunyai kuasa penuh.

“Hubungan Pusat dan negeri kena baik, jangan bermusuh, tidak baik. Jika ada sebarang masalah, selesai secara baik kerana ia boleh memberi kesan khususnya apabila sesuatu kenyataan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri,” katanya.- UTUSAN ONLINE