Bekas Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga pemimpin tersebut perlu mengambil peranan untuk memastikan institusi pengajian itu kekal sebagai satu daripada hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah tentu dengan soko­ngan pemimpin-pemimpin Me­layu berpengaruh seperti Dr. Mahathir, Najib dan Anwar dapat mengembangkan UiTM sebagai institusi pengajian yang membantu orang Melayu serta bumiputera dari segi pendidikan pe­ringkat tinggi. Mereka individu yang sangat penting untuk mempertahankan UiTM dari gangguan anasir luar.

“Amat menyedihkan sekiranya orang Melayu sendiri mahu melepaskan hak keistimewaan yang diperoleh sejak dari dahulu atas alasan toleransi dengan kaum lain. Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sepatutnya tidak perlu menyentuh soal UiTM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) de­ngan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pe­ngambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

Mengulas lanjut, Sahol Hamid berkata, kewujudan UiTM telah membantu orang Melayu untuk bersaing dari segi ekonomi dan taraf sosial selain melahirkan ramai tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang sejak dari dahulu.

Katanya, kaum-kaum lain perlu melihat pelbagai peluang yang te­lah diberikan kerajaan kepada mereka dan bukannya menjadikan orang Melayu sebagai sasaran perasaan tidak puas hati masing-masing.

“Apabila orang Melayu minta agar kaum lain tidak menyentuh soal hak istimewa, ada pihak yang mengatakan permintaan itu berbaur perkauman dan tiada tole­ransi sedangkan kita tidak pernah mempertikaikan manfaat yang diperoleh kaum India serta Cina.

“Saya yakin sekiranya sesuatu kaum itu diberi hak keistimewaan, mereka akan teguh mempertahankannya daripada dicabul oleh anasir luar,” katanya.

Tambah Sahol Hamid, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak melakukan permintaan terhadap kerajaan memandangkan masih banyak perkara lain yang perlu diselesaikan khususnya kestabilan ekonomi negara.