Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berkata, tindakan Dr. Mahathir itu hanya atas sebab kepentingan peribadi semata-mata dengan niat menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Kita telah membaca laporan mengenai kenyataan Dr. Mahathir di portal berita media sosial dan mendapati ia amat berbahaya selain mampu mengganggu gugat keharmonian negara. Beliau juga mengaku mempunyai niat untuk menggulingkan kerajaan.

“Kita berharap pihak polis me­lakukan siasatan dengan segera bagi menjaga keluhuran perlembagaan selain mencegah fitnah yang dilakukan beliau ini terus berleluasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengiringi Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Raffi yang membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Menurut Khairul Azwan, niat jahat Dr. Mahathir untuk menggulingkan kerajaan itu sudah dilakukan sejak tahun 2014 dan pihaknya sudah mengumpulkan bukti-bukti yang diperoleh kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Menerusi laporan polis yang dilakukan, Mohd. Razlan berkata, tindakan itu diambil selepas membaca laporan di portal be­rita semasa berada di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) yang me­ngandungi kenyataan Dr. Mahathir yang mempunyai niat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, terdapat banyak ke­nyataan Dr. Mahathir yang dilihat cuba mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

“Siasatan segera harus dilakukan oleh pihak polis bagi memastikan keluhuran perlembagaan terjaga dan niat jahat Dr. Mahathir itu dapat dihentikan,” katanya.