Anugerah itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri bersempena lawatan rasmi beliau ke Pakistan selama tiga hari bermula esok.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan kepada Dr. Mahathir sebagai tetamu utama sempena sambutan Hari Pakistan pada 23 Mac ini.

Jelasnya, ini merupakan lawatan pertama Dr. Mahathir ke negara berkenaan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei tahun lalu.

“Semasa lawatan tersebut, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak menilai prestasi semasa hubungan dua hala dan mengenal pasti ruang kerjasama lain yang boleh diterokai untuk manfaat bersama kedua-dua negara.

“Lawatan rasmi ini turut mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia dengan Pakistan.

“Selain itu, kedua-dua pemimpin turut berpeluang untuk berbincang dan bertukar pandangan berkenaan isu-isu serantau dan global demi kepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin akan merasmikan upacara pelancaran kilang Proton di Pakistan dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara sektor swasta,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Wisma Putra lagi, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan, Arif Alvi yang akan menghoskan Jamuan Makan Malam Negara untuk Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.

“Malaysia dan Pakistan mempunyai hubungan substantif dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama. Malaysia optimistik lawatan ini bakal meningkatkan lagi hubungan Malaysia dan Pakistan ke tahap lebih tinggi.

“Pada tahun 2018, jumlah perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara sebanyak RM5.91 billion iaitu peningkatan 2.5 peratus berbanding RM5.76 billion pada 2017. Pakistan merupakan rakan perdagangan Malaysia ketiga terbesar di kalangan negara-negara Asia Selatan,” jelas Wisma Putra lagi. - UTUSAN ONLINE