PUTRAJAYA 7 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan tindakan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya membentangkan jumlah kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM5.7 bilion dalam mesyuarat Kabinet pada 1994.
![]() |
MAHATHIR MOHAMAD
|
Bekas Perdana Menteri itu berkata, laporan kerugian perdagangan mata wang asing yang dibuat oleh Anwar dalam mesyuarat Kabinet tersebut adalah berdasarkan laporan daripada BNM dan telah disahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara.
“Apa lagi hendak dilaporkan, dia telah menerima laporan macam itu, melainkanlah kalau kita ada syak wasangka ada orang mencuri duit atau sebagainya.
“Dia telah menerima laporan itu yang telah disediakan oleh pihak berautoriti dan telah disahkan oleh pihak audit,” katanya kepada pemberita selepas mengikuti prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1990-an di Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Mahathir mengikuti prosiding berkenaan dari pukul 2.20 sehingga 4.20 petang yang mana dalam tempoh berkenaan, Anwar menjadi saksi ke-21 kepada RCI.
Ketegangan timbul dalam prosiding hari ini apabila Pengerusi Suruhanjaya berkenaan, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mempersoalkan tindakan Anwar membentangkan jumlah kerugian forex BNM pada 1993 sebanyak RM5.7 bilion sahaja dalam mesyuarat Kabinet 1994 sedangkan kerugian sebenar pada tahun itu adalah RM15.291 bilion.
Sementara itu, dalam perkara berasingan, Mahathir mengakui surat Anwar yang mengingatkan pemimpin PKR agar tidak memutuskan hubungan dengan Pas selagi ada ruang perbincangan telah menimbulkan masalah kepada Pakatan Harapan diketuai DAP.
“Orang semua sudah baca surat daripada Anwar. Soalnya, kenyataan surat itu menimbulkan beberapa soalan lain dan ini menjadi masalah, yang boleh diselesaikan kita,” katanya.
Pada 29 Ogos lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan empat parti komponen dalam pakatan tersebut iaitu DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).