Hal demikian kerana, menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan Dr. Mahathir yang seolah-olah tidak memahami mengapa Majlis Raja-Raja terlibat sama dalam memperkenankan lantikan kanan telah menimbulkan pelbagai persoalan sama ada Perdana Menteri tidak memahami atau membaca Perlembagaan Persekutuan.

Kata Asyraf Wajdi, tidak timbul soalan mengapa hanya kini Majlis Raja-Raja dilibatkan sama terutama dalam pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu kerana semuanya telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak dahulu lagi Perlembagaan Persekutuan memang dengan jelas menerangkan bahawa lantikan Ketua Hakim Negara ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Seri Paduka berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Dr. Mahathir perlu akur bahawa beliau tidak mempunyai kuasa mutlak dalam lantikan ini sebaliknya beliau terikat dengan pelbagai prosedur dan yang paling penting adalah perkenan daripada Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketika diajukan soalan berhubung pengganti Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Dr. Mahathir dalam wawancara bersama akhbar The Star hari ini dilaporkan berkata beliau masih belum menerima pengesahan mengenai perkara tersebut.

“Saya selalu membayangkan Yang di-Pertuan Agong yang akan meluluskan semua pelantikan jawatan kanan tetapi entah bagaimana, perlu berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Sekarang, bukan Yang di-Pertuan Agong sahaja tetapi juga perlu melalui Majlis Raja-Raja. Saya tidak memahaminya. Keputusan tidak boleh diubah melainkan ada alasan kukuh. Kami telah membuat keputusan (Ketua Hakim Negara baharu) dan telah menghantar nama kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Dr. Mahathir dalam wawancara tersebut. - UTUSAN ONLINE