Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert (gambar) berkata, beliau bersama Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan perkara itu kepada Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri.

“Respon Dr. Mahathir adalah dengan berkata ‘kadang-kadang kita buat keuntungan dan kadang-kadang kita buat kerugian’,” katanya dalam keterangan kepada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Clifford memberitahu, beliau menjangkakan be­kas Perdana Menteri itu akan memberi reaksi marah, namun hanya berkelakuan seperti biasa dan tidak memberi arahan lanjut.

Menurutnya, beliau mengetahui kerugian itu akhir 1993 selepas diarahkan Anwar untuk memeriksa perkara tersebut.

Katanya, beliau meminta daripada Setiausaha Lembaga Pengarah BNM maklumat ak­tiviti itu, sebelum melaporkannya kepada Anwar.

Tambahnya, beliau juga ada berbincang de­ngan Ga­be­nor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein bagi menyediakan nota kepada Anwar untuk jawapan di Parlimen.

“Tan Sri Jaffar memberitahu saya, kebanyakan bank pusat lain ketika itu turut mengalami kerugian akibat perdagangan mata wang asing berikutan pasaran tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, kata Clifford, beliau tidak mengingati sama ada bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid atau Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang berada dalam penerbangan ke Hawaii bagi memberi pe­nerangan kepada Anwar me­ngenai kerugian BNM.

“Kami menasihatkan Datuk Seri Anwar yang beliau sepatutnya meminta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meletakkan jawatan ke­rana pada pengetahuan saya, dia yang bertanggungjawab ke atas kerugian BNM,” katanya yang memberitahu, Anwar bersetuju dengan nasihat itu.

Mengenai pertemuan dengan bekas Timbalan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Lin See Yan, Clifford berkata, mereka bersetuju langkah menyelesaikan masalah BNM adalah memindahkan pegangan saham Kementerian Kewangan dalam Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada BNM.