Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Ismail yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Antara jawatan pernah disandang Ismail termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan; dan Penasihat Kanan, Ibu Pejabat Bank Dunia, Washington D.C.

“Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Datuk Seri Ismail Bakar akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum ini, Tan Sri Dr Mohd. Irwan Serigar Abdullah telah dipendekkan kontrak perkhidmatannya daripada berakhir 6 Mac 2019 kepada berakhir 14 Jun ini.

Mulai 14 Mei lalu, Mohd. Irwan telah ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan atau apa-apa yang berkaitan dengan Kementerian Kewangan. - UTUSAN ONLINE