Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksana­an dasar itu kelak bagaimanapun tertakluk kepada negeri masing-masing kerana hal ehwal Islam terletak di bawah kuasa negeri.

“Apa yang dibuat oleh Jakim adalah daripada segi penyela­rasan supaya kita ada satu dasar yang boleh dirujuk tentang apakah amalan terbaik boleh dijadikan panduan untuk semua dalam pendidikan tahfiz ini.

“Sebab sekarang ini selain pusat pengajian tahfiz swasta, kita juga ada institusi-institusi lain yang melaksanakan pengajian Ulul al Bab ini seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan Kesihatan dan Kesejahteraan PICOMS (PTSC) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), Datuk Mohd. Zubir Sheikh Saad; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Zainal Abidin Jaafar.

Menurut Asyraf Wajdi, DPTN adalah hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat para hafiz bukan sahaja hebat dari segi hafazan dan pemahaman terhadap ayat-ayat al-Quran tetapi turut berupaya menguasai ilmu-ilmu duniawi khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Beliau berkata, Perdana Menteri melalui dasar itu juga berhasrat mengembalikan kegemilangan Islam seperti di zaman Tamadun Andalusia yang banyak melahirkan cendiakawan Islam dalam bidang-bidang tertentu dan dalam masa sama merupakan hafiz serta hafizah.

“Ini yang paling mustahak. Al-Quran tidak bermakna untuk hafazan sahaja, malah untuk di­terjemahkan dalam kehidupan seharian agar dapat dimanfaatkan oleh manusia sejagat,” katanya.